13 Januari 2012
Utusan Malaysia
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
13/1/2012
AKHIRNYA pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan. Keputusan tersebut tentunya menutup dilema penjawat awam yang hanya mempunyai tiga hari saja lagi untuk mengembalikan borang opsyen.
Sememangnya sejak SBPA diumumkan pelbagai reaksi dan kenyataan dapat dilihat - hangat dan dingin. Di sebalik khabar kenaikan gaji dan penyusunan jawatan, masih ada rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam terutama yang berpangkat rendah.
Perkara itu diakui sendiri oleh CUEPACS yang mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi berunding semula terma-terma dalam SBPA.
Persoalannya, adakah keseluruhan kakitangan awam di negara ini telah diberi penerangan dan penjelasan mengenai skim itu sebelum ia dilaksanakan. Atau sekadar memberi peluang kepada mereka menatap terma-terma sebelum borang dikembalikan?
Khabarnya, ramai penjawat awam masih kabur dan keliru mengenai SBPA. Kumpulan mana yang benar-benar dapat manfaat daripada skim tersebut - gaji rendah, pertengahan atau super skil.
Sumber perkhidmatan awam memberitahu, secara pukal golongan penjawat awam selain peringkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) hanya mendapat kenaikan paling tinggi RM320 dan purata memperoleh RM200. Itu mungkin di peringkat penjawat awam kategori gaji pertengahan. Bagaimana pula dengan kenaikan gaji untuk JUSA?
Khabarnya, kenaikan kategori itu paling menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga SBPA dilihat agak pincang daripada matlamat asal.
Kenaikan untuk JUSA dan ke atas dikatakan amat lumayan hampir menyamai gaji asas di tahap sedia ada (dilaporkan hampir RM5,500). Adalah diakui penjawat awam di peringkat JUSA mempunyai beban kerja yang agak besar, tetapi bagaimanapun pula dengan kakitangan rendah yang bertungkus lumus memberi perkhidmatan supaya golongan atasan dilihat membuat kerja?
Bukankah kesemua kategori dalam perkhidmatan awam sama penting kerana sumbangan mereka untuk sama-sama membangunkan bidang masing-masing.
Misalnya, jika guru-guru berkhidmat dengan cemerlang maka guru besar atau pengetua bakal mendapat nama yang baik, sekolah juga akan mencatatkan keputusan gemilang. Jadi adakah wajar jika kenaikan gaji guru hanya 1 peratus daripada kenaikan gaji guru besar atau pengetua.
Satu lagi dipersoalkan di dalam SBPA adalah pengenalan Kumpulan Premier. Ada kerunsingan dan kebimbangan selain tanda-tanya yang mesti dijawab atau diperjelaskan bagi mengelak salah sangka.
Sumber perkhidmatan awam membangkitkan persoalan mengapa kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk mereka walhal perkhidmatan kerajaan telah beroperasi dengan baik selama ini.
Kenapa perlu ada kumpulan baru sedangkan perkhidmatan awam di negara ini semakin cemerlang dan mampu menambah baik tanpa perlu kumpulan atau jawatan baru sebelum ini.
Apatah lagi apabila orang luar turut dibenarkan mengisi jawatan tersebut biar pun menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah calon luar hanya akan dipertimbangkan sekiranya tiada calon dari kalangan penjawat awam yang layak mengisi jawatan tersebut.
''Penjawat awam tetap akan diutamakan untuk mengisi jawatan-jawatan tertinggi dalam kerajaan termasuk Kumpulan Premier,'' katanya baru-baru ini.
Memang diakui seperti mana yang ditegaskan Abu Bakar, setiap dasar atau skim yang diputuskan kerajaan bertujuan mengatasi masalah sedia ada dan juga melihat kemungkinan pada masa akan datang.
Tetapi bagaimana pula jika skim yang diperkenalkan mencetuskan masalah baru selain menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam sehingga dibimbangi kelak akan menjejaskan mutu perkhidmatan.
Khabarnya juga, syarat-syarat perkhidmatan yang lebih rumit terkandung di dalam SBPA. Sepatutnya skim baru lebih memudahkan kakitangan. Merumitkan mengundang masalah dan ia bukan petanda yang baik untuk kakitangan awam termakan dengan mungkin satu atau dua peratus manfaat kecil yang ditawarkan di dalam skim itu.
Rata-rata kakitangan awam mengalu-alukan hasrat murni kerajaan mahu melegakan bebanan mereka tetapi janganlah kerana terdapat kecacatan dalam pelaksanaan SBPA, maka hasrat tersebut tersasar sehingga menimbulkan kekeruhan.
Daripada bilangan 1.4 juta penjawat awam, ramai merasakan cuma segelintir (mungkin kurang 1,000 orang) yang merasa nikmatnya tetapi yang lainnya terpaksa berfikir panjang apakah yang ada untuk mereka.
Maka berilah ruang untuk SPBA dikaji semula. Ambillah masa yang mencukupi untuk melihat semula kepincangan yang mungkin tidak disengajakan. Rundinglah dengan semua pihak yang terlibat, jangan cipta skim untuk kepentingan satu kumpulan sahaja lantaran perkhidmatan awam melibatkan semua.
Disalin daripada http://cuepacs.blogspot.com/
Pada 13/01/2012